anak-kini

18:08 Rafieq Roslan 0 Comments


Kisah Abi dinosaur dan Ummi raksasa timbul di ingatan saya, apabila salah seorang peserta ceramah “Sharpen the Saw” yang diadakan di Al-Nidaa’ tempoh hari, melontarkan soalan tentang masalah anak-anak hari ini yang sangat suka menonton kartun di televisyen.
Saya berpandangan, adalah mustahil untuk kita menyekat kanak-kanak zaman ini daripada menyukai kartun dan animasi. Perbuatan kita menyembunyikan kewujudan kartun-kartun itu di rumah, akan menyebabkan anak-anak melakukan ‘jenayah’ apabila mereka mencari peluang menontonnya di luar rumah.
Di pusat asuhan…
Di pasar raya…
Dari cerita dan mulut kawan-kawan…
Kartun ada di mana-mana.
Menyekatnya adalah suatu kemustahilan dan mungkin boleh menjadi satu "PENGHINAAN" kepada mereka dan ini boleh menyebabkan mereka berasa rendah diri dan merasa seperti DIPERMAINKAN. Tetapi kita boleh membimbing dan meletakkan HAD keperluan. Namun sebelum soal bimbingan dan had keperluan itu diperkatakan, ambillah peluang untuk menyelami fikiran anak-anak kita sendiri tentang hal ini.
KUALITI WATAK ITU
Mana mungkin seorang kanak-kanak yang normal, tidak suka kepada hero mereka yang berwarna terang, lincah, penuh aksi, penyayang, lucu, bercakap dengan jelas, lantas mendampingi watak-watak itu menjadikan mereka terhibur, gembira, malah ada juga yang ‘beroleh rasa selamat’.
powerrangersspd.jpg
Lihat sahaja Power Rangers. Warnanya terang dan menarik perhatian. Aksinya lincah dan sentiasa menang dalam pertempuran. Mereka juga bekerja dalam pasukan dan sering bantu membantu untuk menangkis ancaman. Unsur-unsur ini sungguh kuat mempengaruhi anak-anak kita.
Renung pula seorang hero bernama Ultraman. Beliau adalah seorang yang action oriented. Beliau diangkat sebagai perwira kerana bertindak kena pada masanya. Beliau tidak perlu berleter dan bercakap untuk dilihat sebagai hero dan idola. Beliau hanya perlu beraksi. Membuktikan kepahlawanannya melalui tindakan.
Renung pula kepada Barney. Walaupun matanya besar, perutnya buncit dan susah untuk dipeluk, Barney ‘seorang’ yang pengasih lagi penyayang. Barney tidak marah-marah dan berleter. Barney sentiasa membelai, dan pandai mengambil hati. Biar pun warnanya ungu dan sering dikutuk oleh mereka yang jemu dengannya sebagai ‘The Purple Thing“, dia tetap mendapat tempat di hati kanak-kanak.
ultraman-s1v1-04.jpg
‘Cinta’ anak-anak mereka kepada Power Rangers, Ultraman dan Barney bukanlah cinta buta. Komitmen dan kesetiaan mereka kepada idola animasi ini, kerana watak-watak ini berkualiti. Mereka memberikan perlindungan, gaya mereka meyakinkan, mereka juga hanya memberi aksi tanpa perlu berleter bagai butir beras padi. Mereka juga penyayang, lucu, pembelai dan pandai mengambil hati. Sehinggakan perwatakan animasi ini dapat mempengaruhi gaya dan sikap kanak-kanak tersebut. 
Apakah kita sebagai ibu bapa, mampu menyaingi watak-watak itu? Apakah ada ciri-ciri Power Rangers dalam diri kita pebimbing mereka?
Ibu buat hal sendiri.
Ayah buat hal sendiri.
Malah sering bergaduh sesama sendiri.
Saudara-mara serta abang dan kakak yang lain sibuk dengan urusan harian dan rakan mereka.
Jauh sekali dari watak Power Rangers yang sentiasa berpakat menentang ancaman. Lebih buruk lagi jika ibu ayah suka baju berwarna hitam dan kelabu. Sungguh membosankan.
Apakah kita, mampu menyaingi Ultraman? Kita yang suka membebel sedangkan jarang aksi dan perbuatan kita berpihak kepada mereka. Kita membina kekuatan dengan bercakap, tidak seperti Ultraman yang bisu seribu bahasa tetapi penuh tindakan dan aksi yang memberikan keyakinan serta kepuasan.
sub-square-barney.gif
Mahu membandingkan kita , dengan Barney? Oh, sudah tentu kita kalah sebelum masuk gelanggang lagi. Barney itu hodoh di mata kita, tetapi mungkin kita lebih hodoh di mata anak-anak berbanding ‘The Purple Thing‘ itu. Barney penyabar, kita baran. Barney pengasih, kita suka marah-marah dan menyakitkan hati. Barney sering ketawa, kita masam muka sepanjang masa. Bergaduh dengan majikan dan bertempur dengan kereta di jalan, kita hukum "mereka" dengan muka dan bau badan yang kedua-duanya masam!
Tiba-tiba kita berleter mahu memisahkan anak-anak dari segala yang ‘baik’ pada diri Power Rangers, Ultraman dan Barney itu.
Jangan terkejut jika kita ditentang dan dilawan. Apa yang kita ada sebagai alternatif kepada Power Rangers, Ultraman dan Barney?
Abi dinosaur, Ummi raksasa… mungkin itu imej kami dan anda di mata anak-anak kita.
ALTERNATIF HARUS SEPADAN
Soal watak ibu bapa yang mengecewakan anak-anak, bukan isu remeh yang harus ditertawakan.
Dalam masa yang sama, alternatif yang ingin kita tawarkan juga haruslah sepadan dengan jiwa anak-anak.
Lihat sahaja kartun-kartun yang mengajar doa, animasi Islam yang ajarannya bersandarkan sumber Islam yang sahih, perhatikan watak-watak yang menutup aurat dan bersopan itu. Ia memenuhi kriteria yang kita letakkan sebagai ibu bapa. Tetapi adakah ia sesuai dengan anak-anak?
Kebanyakannya kaku, mulut bergerak seperti boleh dibilang buka tutupnya. Bahasanya membosankan. Ia adalah orang dewasa di dalam lukisan kanak-kanak. Rupanya seperti kanak-kanak tetapi psikologinya adalah seorang dewasa. Maka anak-anak kita bosan dengan alternatif sebegini.
Mujurlah muncul baru-baru ini Upin dan Ipin. Semoga produk cemerlang sepertinya bertambah dari semasa ke semasa.
Itu jika kita berhasrat memberikan animasi alternatif.
Keadaan menjadi lebih serius apabila kita mahu anak-anak berhenti menonton kartun untuk memberi laluan kepada program belajar mengaji.
Rancangan mengaji al-Quran bukan kelas mengaji al-Quran. Jika kelas mengaji, seorang ustaz boleh mengunci pintu kelas dan tangannya kemas menggenggam rotan.
Tetapi rancangan mengaji al-Quran di televisyen boleh ditinggalkan hanya dengan gerak hujung jari menukar siaran. Belajar adalah proses yang sepatutnya menyeronokkan biar pun ia kelas mengaji al-Quran. Untuk itu saya ucapkan syabas kepada sahabat saya Ustaz Zamri di TV9 kerana berjaya membawa suatu pendekatan baru dalam kelas mengaji al-Quran. Usahkan anak-anak saya, malah ibu bapa mereka dan pakcik makcik pun suka menontonnya.
Tidak salah ada gelak ketawa, asalkan ia berpada.
BERUSAHA MEMAHAMI
Maka ibu bapa mestilah banyak menyemak diri sendiri, apabila anak-anak suka menonton TV. Cubalah melihat ‘krisis’ ini dari pandangan anak-anak. Adakah anak-anak yang degil, atau kita sebenarnya yang bermasalah?
Jika mahu dibandingkan watak kita dengan watak Nabi SAW itu dianggap terlalu jauh, maka cermin-cerminlah imej kita di depan anak-anak. Mampukah kita menyaingi Power Rangers dan Ultraman? Apakah kita kalah kepada keluhuran watak Barney?
Abi dinosaur, Ummi raksasa… mungkin itulah kita, di depan anak-anak hari ini yang peka dan bijak belaka.

Terima kasih pada ceramah hari itu.. ia amat membantu..

Dilaporkan oleh :
                         

0 ulasan: