HMM: Sejarah Kedah Terulung

16:39 Raf 2 Comments

KLIK INI UNTUK MENGETAHUI KISAH DI BALIK TABIR FILEM NI




HMM: Sejarah Kedah Terulung


Pendahuluan

Hikayat Merong Mahawangsa (HMM), yang menerangkan asal usul raja-raja Kedah berdasarkan mitos dan lagenda, menjadi ahli genre sastera sejarah tradisional Melayu. Hampir setiap kerajaan Melayu zaman silam mempunyai hasil sastera sejarahnya sendiri yang menerangkan asal usul raja-rajanya, asal usul negeri, perkembangan sejarahnya dari awal hingga ke akhir berdasarkan konsep sejarah yang dipegang oleh masyarakat Melayu tradisional. Hasil sastera sejarah itu dipegang oleh kerajaan berkenaan sebagai suatu dokumen yang sah bagi mengabsahan hak dan kuasa raja ke atas negerinya.
Mukasurat Hikayat Merong Mahawangsa
Oleh yang demikian, dalam perbendaharaan kesusasteraan Melayu tradisional, terdapatlah berbagai-bagai hasil sejarah, daripada yang paling terkenal kepada karya yang jarang-jarang diketahui, malah oleh orang Melayu sendiri. Bersama-sama dengan HMM dalam keluarga sastera sejarah ini terdapatlah Hikayat Raja Pasai, Hikayat Acheh, Hikayat Palembang, Sejarah Raja-Raja Riau, Hikayat Bangkahulu, Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Johor, Hikayat Seri Kelantan, Hikayat Pahang, Hikayat Patani, Misa Melayu, Asal Usul Raja Sambas, Hikayat Banjar, Hikayat Kotawaringin, Salsilah Kutai, Hikayat Siak dan berbagai-bagai lagi.


Dalam sejarah perkembangan negeri-negeri di Nusantara, pengabsahan kuasa raja menjadi isu yang dipersoalkan dan disanhsikan apabila muncul orang Barat. Persolan itu sama ada ditimbulkan oleh kuasa Barat sendiri mahupun oleh negeri-negeri lain yang menjadi jiran. Ini adalah sebahagian daripada taktik Barat memecahkan negeri-negeri Melayu daripada bersekutu menentang kemaraannya.

Jelas dari sudut penciptaannya, salah satu dari sebab mengapa HMM dikarang ialah untuk digunakan sebagai dokumen pengabsahan kuasa raja Kedah ke atas negerinya dan kawasan-kawasan jajahannya. Hikayat ini juga berguna dalam menepis dakwaan Siam bahawa raja Kedah tidak berhak menyerahkan Pulau Pinang kepada Inggeris pada tahun 1786. Oleh itu, seperti hasil-hasil sastera sejarah Melayu tradisional yang lain, HMM adalah penggemblengan unsur-unsur realiti dan mitos yang digunakan untuk menegakkan kedaulatan raja-raja Kedah dan keturunannya.


Ringkasan Cerita HMM
Bahagian awal cerita mengemukakan kisah-kisah raja dan pembukaan negeri berdasarkan mitos dan lagenda atau cerita-cerita khayalan yang dipercayai masyarakatnya, sama ada bersifat tempatan, bersifat Hindu ataupun cerita-cerita yang berasal dari pengaruh Islam. Dalam bahagian inilah hikayat ini menyatakan yang menjadi nenek moyang raja-raja Kedah ialah Raja Merong Mahawangsa, seorang raja yang bukan sahaja mempunyai ikatan kekeluargaan dengan Raja Rom tetapi juga menjadi pembesar kepercayaannya.


Angkatan Raja Merong Mahawangsa yang sedang belayar dari Rom ke negeri China telah diserang oleh geroda. Ia membuka negeri Langkasuka dan diangkat menjadi raja. Ia pulang ke Rom setelah menabalkan puteranya Raja Merong Mahapudisat menjadi raja. Langkasuka ditukar namanya ke Kedah Zamin Turan.
Berpandukan nasihat yang diberikan oleh ayahandanya, Raja Merong Mahapudisat merajakan putera sulungnya menjadi Raja Siam, putera tengah sebagai Raja Perak dan anakandanya yang ketiga, seorang puteri, sebagai Raja Patani. Putera yang bongsu menggantikan ayahanda mereka sebagai Raja Kedah dengan gelaran Raja Seri Mahawangsa. Raja inilah yang memulakan tradisi menghantar persembahan bunga mas dan bunga perak sebagai hadiah kepada kekandanya, Raja Siam, setiap kali kekandanya mendapat putera.
Raja Seri Mahawangsa mangkat setelah kecewa dengan puteranya yang tidak menurut perintah dan digantikan oleh putera itu dengan gelaran Raja Seri Maha Inderawangsa. Seterusnya putera Raja Seri Maha Inderawangsa menjadi raja dengan gelaran Raja Ong Maha Perita Deria yang lebih terkenal dalam sejarah negeri Kedah sebagai Raja Bersiong. Apabila Raja Bersiong turun dari takhta setelah ditentang kerana kezalimannya, puteranya ditabalkan sebagai Raja Phra Ong Mahapudisat. Raja ini digantikan oleh puteranya, Raja Phra Ong Mahawangsa yang kemudiannya menjadi raja Kedah yang pertama memeluk agama Islam. Syeikh Abdullah Yamani menukarkan namanya kepada Sultan Muzaffar Syah.
Sinopsis Hikayat Merong Mahawangsa

oleh: Dato' Profesor Dr. Siti Hawa Hj Salleh


Hikayat Merong Mahawangsa tergolong dalam genre kesusasteraan sejarah Melayu tradisional dan tertulis dengan mematuhi struktur penulisan pensejarahan tradisional seperti yang dapat dikesan pada penulisan Hikayat Raja Pasai, Hikayat Aceh, Sulalat al - Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Banjar dan pelbagai hasil penulisan sejarah tradisional Melayu yang lain.
Hikayat ini mengambil judulnya daripada nama seorang raja yang berasal dari Rom yang dipercayai melahirkan dinasti Mahawangsa menjadi sumber keturunan raja-raja yang membuka negeri yang diberi nama Langkasuka yang kemudiannya lebih dikenali sebagai negeri Kedah Zamin Turan.
Penulisan hikayat ini menggemblengkan ketiga-tiga unsur tempatan, unsur Hindu dan Islam dan ternyata cerita asal usul negeri Kedah ini dikarang selepas negeri itu memeluk agama Islam. Pengarangnya, seorang pujangga istana Kedah, amat setia pada struktur pensejarahan tradisional Melayu kerana memulakan ceritanya dengan mengemukaka asal usul rajanya, peristiwa yang menyebabkan raja itu memulakan pelayarannya, pembukaan negeri, jurai keturunan daripada raja yang pertama kepada yang terakhir (semasa penyalinan terakhir dilaksanakan), kisah pengislaman dan beberapa peristiwa yang ingin disampaikan oleh pengarang berkaitan sejarah negeri Kedah mengikut penilaian dan kacamata masyarakat sezaman.
Walaupun tidak semua hasil penulisan sejarah tradisional ditulis berdasarkan ciri-ciri penulisan sejarah tetapi hanya sebahagian daripada ciri-ciri tersebut, Hikayat Merong Mahawangsa tertulis dengan berpandukan kelima-lima ciri penulisan sejarah yang memaparkan konsep sejarah masyarakat zaman silam.

Bahagian awal cerita mengemukakan kisah-kisah raja dan pembukaan negeri berdasarkan mitos dan lagenda atau cerita-cerita khayalan yang dipercayai masyarakatnya, sama ada bersifat tempatan, bersifat Hindu ataupun cerita-cerita yang berasal dari pengaruh Islam. Dalam bahagian inilah hikayat ini menyatakan yang menjadi nenek moyang raja-raja Kedah ialah Raja Merong Mahawangsa, seorang raja yang bukan sahaja mempunyai ikatan kekeluargaan dengan Raja Rom tetapi juga menjadi pembesar kepercayaannya. Dalam pelayaran menuju ke Negeri China, angkatan yang mengiringi Putera Raja Rom diserang dan dimusnahkan oleh geroda yang telah bersumpah di hadapan Nabi Allah Sulaiman bahawa ia akan menghalang Raja Rom daripada memperlihatkan kebesarannya dengan berbesan dengan Raja China. Sementara Putera Raja Rom dipertemukan dengan puteri China di Pulau Langkapuri melalui usaha geroda sendiri, Raja Merong Mahawangsa diterima sebagai Raja Langkasuka. Baginda hanya meninggalkan negeri itu kepada puteranya, Raja Merong Mahapudisat, setelah puteranya dewasa dan layak memerintah negeri. Raja Merong Mahadipusat memenuhi pesanan ayahandanya dengan mengarahkan putera sulungnya membuka negeri Siam; putera kedua membuka negeri Perak; anakandanya yang ketiga, seorang puteri membuka negeri Patani sementara putera yang bongsu tinggal bersamanya di Kedah dan menggantikan ayahandanya bila baginda mangkat dengan gelaran Raja Seri Mahawangsa. Pengarang tidak menyebut langsung perkaitan antara negeri Kedah dengan negeri Perak dan Patani tetapi menggambarkan wujudnya pertalian yang erat antara negeri Kedah dengan negeri Siam. Pengarang menceritakan bagaimana bermulanya tradisi penghantaran bunga emas dan bunga perak oleh negeri Kedah kepada Siam bila Raja Seri Mahawangsa (Raja Kedah yang ketiga) mendapat berita kekanda sulungnya Raja Siam mendapat putera. Terus raja Kedah memerintahkan supaya tradisi menghantar bunga emas itu diteruskan hingga ke akhir zaman setiap kali mendapat putera.
Raja Seri Mahawangsa mangkat setelah puteranya, Raja Seri Maha Inderawangsa menentang perintahnya dan berkahwin dengan puteri bangsa gergasi. Perkahwinan inilah yang melahirkan Raja Bersiung, raja yang paling terkenal dalam hikayat ini. Raja Ong Maha Perita Deria atau lebih terkenal sebagai Raja Bersiung menjadi seorang Raja yang zalim terhadap rakyatnya sendiri dan tersingkir dari takhta. Baginda diganti oleh puteranya yang bergelar Raja Phra Ong Mahaputisat yang digantikan pula oleh puteranya, Raja Phra Ong Mahawangsa.
Dalam zaman pemerintahan Raja Phra Ong Mahawangsalah, negeri Kedah menerima Islam yang dibawa oleh Syeikh Abdullah. Baginda merupakan raja Kedah pertama memeluk Islam dan menukar namanya kepada Sultan Mudzaffar (sic Muzaffar) Syah. Setelah selesai meletakkan asas keislaman di negeri itu, Syeikh Abdullah pulang ke Baghdad. Sultan Mudzalfal Syah diganti oleh puteranya bergelar Sultan Mu'azzam Syah. Hikayat diakhiri dengan jurai keturunan raja-raja yang memerintah Kedah hingga ke Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah, raja yang memerintah semasa hikayat ini disalin kali terakhir.


Beberapa unsur Pensejarahan Melayu Tradisional Dalam HMM
Pengarang karya sastera sejarah tradisional menggunakan berbagai-bagai unsur mitos dan lagenda untuk dijadikan sebagai bukti subjektif dalam penulisannya. Bila hikayat itu menceritakan tentang sesuatu yang lebih dekat dengan zaman kini, barulah bukti objektif seperti unsur realiti dan sejarah sebenar dipakai.

Dalam HMM kita bertemu dengan berbagai-bagai unsur mitos yang berasal daripada pengaruh Hindu dan juga setempat. Pengaruh-pengaruh yang berbeza juga dipertentangkan supaya ternampak yang satu lebih mengatasi yang lain. Burung geroda, binatang mitis hindu kenderaan Visynu dipertentangkan dengan kuasa 
Allah menerusi Nabi Allah Sulaiman. Unsur mitos Hindu dan animisme seperti gajah sakti, anak raja yang ditemui dalam buluh betung dan dalam sungai, mitos asal usul tempat dan lain-lain semuanya dikemukakan dengan cara yang teratur dan bertujuan memberikan asal usul raja Kedah gambaran yang agung dan gemilang.
Kandungan Hikayat Merong Mahawangsa dalam teks jawi

Cerita-cerita di sekitar Raja Bersiung adalah contoh penggemblengan unsur mitos Hindu dan unsur perlambangan untuk memberikan asal usul raja-raja Kedah suatu pewarnaan keagungan dan kehebatan.

Penggemblengan unsur realiti dan mitos tergambar dalam gaya pengarang menceritakan bagaimana terjalinnya perhubungan antara Kedah dengan Siam. Dengan cara yang menarik, pengarang tidak menafikan bahawa Siam mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dari Kedah dan mengaku Kedah menghantar bunga mas dan perak kepada Siam. Tetapi pujangga istana Kedah menjelaskan peristiwa-peristiwa ini berlaku dengan pendekatannya yang tersendiri tanpa menjejaskan kedaulatan negeri Kedah.

Telah dijelaskan dari awal bahawa perhubungan antara negeri Kedah dengan Siam adalah berasaskan ikatan kekeluargaan antara adinda bongsu dengan kekanda sulung. Dengan mudah dapat diterima mengapa permaisuri Raja Bersiong dan menteri keempat meminta bantuan dari Siam bila menghadapi masalah mencari orang yang sesuai untuk dijadikan raja, menggantikan Raja Bersiong.

Pengarang tidak mengatakan Raja Siam terus membantu tetapi Raja Siam berunding dengan ahli nujum dan meminta pihak ketiga, iaitu gajah sakti, untuk menyelesaikan masalah itu. Dengan menggunakan unsur-unsur yang wujud dalam sistem kepercayaan masyarakat, pengarang menyatakan tugasnya sebagai pujangga istana yang bertanggungjawab.

Keunggulan HMM makin terserlah dalam pengisahan kedatangan Islam ke negeri Kedah dan proses penyesuaian dari amalan menyembah berhala kepada bertakwa kepada Allah Subhanahu wa Taala.Walaupun ia menceritakan peristiwa yang sama yang disebut dalam banyak karya sastera, pujangga istana Kedah menceritakannya dengan gaya yang berbeza.


Kesimpulan

HMM yang dikarang dengan berdasarkan konsep penulisan sejarah Melayu tradisional, menjalankan peranannya sebagai sebuah penulisan sejarah. Ia bukanlah dikarang semata-mata berdasarkan khayalan dan dongengan; malah banyak rahsia budaya dan nilai hidup zaman dulu tersirat dalam himpunan perlambangan, mitos dan lagenda.

Adaptasi
Hikayat Merong Mahawangsa telah diadaptasi menjadi lakonan pentas yang pernah dipentaskan di Istana Budaya. Persembahan yang berjudul Hikayat Merong Mahawangsa: A Swashbuckling Epic Adventure yang berbahasa Inggeris ini dipersembahkan oleh Ribbit Edutainment dan disasarkan untuk tontonan seisi keluarga. Pementasan pertamanya berlangsung pada 14 hingga 17 Mei 2009.[4]
Selain itu, Hikayat ini juga diadaptasi menjadi filem cetera terbitan KRU Studios yang dijadualkan keluar pada tahun 2010 untuk tontonan pasaran antarabangsa. Filem Hikayat Merong Mahawangsa ini dibintangi oleh Stephen Rahman Hughes sebagai Merong Mahawangsa[5], dan dilaporkan berdialog 70% bahasa Inggeris dan selebihnya dalam bahasa Melayu klasik.[6]








Salinan Hikayat
Tiada siapa yang tahu bila Hikayat Merong Mahawangsa pertama kali dikarang. Pembayang utamanya mungkin terletak dalam mukadimahnya yang berbunyi: "Adalah pada suatu masa zaman Sultan Muazzam Shah ibnu Sultan Muzalfal Shah yang maha mulia kerajaan negeri Kedah, pada suatu hari baginda keluar ke penghadapan, …" Sultan Muazzam Shah sebenarnya memerintah dari tahun 1179–1201. R.O. Winstedt mula-mulanya mengusulkan tahun 1612 sebagai tahun asalnya, namun beberapa sejarawan Kedah meragui anggapan ini kerana sastera Melayu belum berkembang ketika itu. Nampaknya ramai sejarawan berpendapat bahawa manuskrip asli Hikayat ini ditulis pada abad ke-19, apatah lagi sekitar tahun 1821, berasaskan peristiwa pembakaran salinan buku Hikayat ini atas perintah kerajaan Siam pada tahun itu.[1]Ketika itu, negeri Kedah menjadi negeri ufti Siam, oleh itu kerajaan Siam membenci mana-mana tindakan yang kelihatan mencabar kewibawaannya baik dalam negara sendiri mahupun negeri-negeri uftinya.[1]


Catatan pusaka Hikayat Merong Mahawangsa masih disimpan dalam beberapa salinan manuskrip yang diterbitkan pada zaman pendudukan Barat di Nusantara sekitar abad ke-19 dan awal abad ke-20 sebagai panduan. Antaranya:[1]

Kulit buku Hikayat Merong Mahawangsa dalam teks rumi

  1. Hikayat Merong Mahawangsa versi Ms. Maxwell 21 yang merupakan koleksi pertama milik W. Maxwell. Naskhah ini ditulis sepanjang 149 halaman tanpa nombor di setiap halamannya, dan telah diserahkan ke Perpustakaan Royal Asiatic Society, London. Di dalamnya terdapat tanda tangan Maxwell dan catatan Singapore, 1884 M.
  2. Hikayat Merong Mahawangsa versi Ms. Maxwell 16 oleh W. Maxwell. Naskhah ini tersimpan di Perpustakaan Royal Asiatic Society, London. Naskhah ini disalin oleh Muhammad Nuruddin bin Ahmad Rajti pada 2 September 1889 M di Pulau Pinang dengan panjang 207 halaman.
  3. Sjadjarah Negeri Kedah atau Hikayat Merong Mahawangsa, yang dikenali sebagai versi von de Wall, No. 201. Naskhah salinan ini ditemukan oleh von de Wal ketika ia di Riau.
  4. Hikayat Merong Mahawangsa atau Sejarah Negeri Kedah. Naskhah ini ditulis di Kampung Sungai Kallang, Singapura. Di dalamnya tercatat tahun 1876 M. Salinan manuskrip ini disimpan di Perpustakaan Bodleian, Universiti Oxford, England.
  5. Hikayat Merong Mahawangsa versi R.J. Wilkinson, dicetak batu dalam tulisan Jawi berukuran fulskap oleh Kim Sik Hian Press, No. 78, Penang Street. Versi ini disalin pada 16 November 1898 oleh Muhammad Yusuf bin Nasruddin di Pulau Pinang.
  6. Hikayat Merong Mahawangsa versi Sturrock yang diterbitkan dalam Journal of The Royal Asiatic Society, Straits Branch (JRASSB) No. 72, Mei 1916 M di halaman 37-123, yang dicetak menggunakan tulisan Rumi (tulisan romawi).
  7. Hikayat Merong Mahawangsa versi Logan yang merupakan koleksi J.R Logan, kini tersimpan di Perpustakaan Nasional Singapura dengan nombor arkib qMR 8999, 2302 HR.
Hikayat Merong Mahawangsa turut dirakam dalam bentuk ulasan historiografi oleh Siti Hawa Haji Salleh, terbitan Universiti Malaya pada tahun 1991.[2] Buku ulasan ini memetik ceritanya dari tiga manuskrip, iaitu Maxwell 16, Maxwell 21, dan Von de Wall 201.[3]

RUJUKAN

  1. ↑ 1.0 1.1 1.2 Hikayat Merong Mahawangsa : A review by Sejarah Melayu Online, The Malay Press, 2009. Dicapai pada 5 Mac 2010.
  2.  Siti Hawa Hj. Salleh (1991). Hikayat Merong Mahawangsa, Penerbit Universiti Malaya. ISBN 9679940373, 9789679940374. URL dicapai pada 5 Mac 2010.
  3.  Hikayat Merong Mahawangsa, Malay Concordance Project, Australian Naional University. Dicapai pada 5 Mac 2010.
  4.  [1], Istana Budaya. Dicapai pada 5 Mac 2010.
  5.  Merong Mahawangsa, Sinema Malaysia. Dicapai pada 5 Mac 2010.
  6.  Faizal Fauzi. "HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA PERTEMUAN TIMUR & BARAT.", Sinema Malaysia, 13 Jul 2009. Dicapai pada 5 Mac 2010. 

[sunting]Pautan luar

2 ulasan:

Pewaris Takhta Sebenar Merong Mahawangsa

Raf berkata...

ehhh memandai jerr ^^